Wednesday, October 7, 2009

Bahasa Pilihan Dalam Blog

Alamak, sekarang saya sudah sampai pada satu kemuncak untuk membuat keputusan yang sepatutnya telah diputuskan tahun lepas sama ada blog ini akan ditulis dengan penggunaan Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris.

Secara peribadinya, menulis didalam Bahasa Inggeris atau dalam ertikata lain, menaip dalam Bahasa Inggeris lebih pantas dapat saya lakukan daripada menaip dengan Bahasa Melayu. Tetapi pada awal blog ini diwujudkan, tujuan saya adalah untuk membantu menyampaikan maklumat kepada mereka yang memerlukan jawapan dan ilmu kepengakapan dalam Bahasa Melayu memandangkan majoriti pembaca penulisan saya berbangsa Melayu, dan juga untuk membuka peluang kepada mereka yang kurang fasih membaca Bahasa Inggeris untuk mendapat kandungan maklumat yang mereka perlukan.

Masalahnya, saya bermatlamat lebih besar daripada semua ini.

Saya ingin melihat blog ini dapat digunakan oleh segenap lapisan masyarakat malah pembaca-pembaca dari luar negara. Tambahan pula kandungan yang saya paparkan berkisar berkenaan ilmu-ilmu dan penerangan-penerangan tentang akktiviti Pengakap dan diluar sana itu ada ramai Pengakap yang datang dari pelbagai bangsa dan agama, malah saya percaya dengan tajuk-tajuk yang saya terbitkan juga akan dapat perhatian daripada Pengakap dari luar negara.

Jika ingin karang dwi bahasa, pengsan. Manakan saya mampu buat semua itu. Semuanya berfaktorkan peruntukan masa.

Yang pastinya, saya mesti lakukan perubahan terhadap blog ini dan membuat keputusan yang pasti. Apa pendapat anda?

Thursday, October 1, 2009

Tali Pengakap Yang Disyorkan

Tali adalah keperluan dalam kategori alat yang penting dalam kehidupan seorang Pengakap. Sepertimana pentingnya pistol kepada polis, tali adalah untuk Pengakap.

Jangan kecil fikiran anda mengatakan tali adalah satu-satunya yang Pengakap perlukan, sebenarnya jika boleh pistol pun kita mahu gunakan tapi dalam latihan kemahiran... seorang Pengakap dilatih menggunakan dan mengendalikan tali dengan baik.

Bagaimana memilih ciri-ciri tali yang baik dan betul dan tidak begitu mahal?

Pernahkan anda melihat orang melakukan aksi payung terjun? ya... parachute. Tali parachute itu adalah ciri-ciri yang baik untuk digunakan sebagai tali pengakap.

Tali pengakap sebaik-baiknya berwarna putih dan isi dalamnya penuh dan luarnya mempunyai anyaman yang baik dan panjangnya tidaklah melebihi 3 meter, kerana 3 meter ini pun sudah cukup panjang dalam aktiviti pengakap sehari-hari.

Jika kita beli tali yang terlalu baik... seperti tali mendaki gunung, mintalah pada kedai itu tali dari jenis Static Kernmantle bermakna ia tidak memeri, bahagian tengahnya penuh dan diulik anyaman kemas. Tetapi harganya RM15.00 / meter. Beli 3 meter dan RM45.00

Jika anda ingin tali pengakap gred A dengan harga RM12.00 untuk panjang tali 3 meter sila berhubung dengan Pengurus Kelas Dataran Merdeka atau datang sendiri ke kelas untuk melihat contoh tali.

Dimana Buku Anda?

Ramai diantara rakan-rakan sepejuangan saya yang sudah tidak bertanyakan kepada saya bila buku yang saya karang akan diterbitkan sepertimana yang dikatakan dahulu... kerana mereka tahu bahawa saya tidak mempunyai peruntukan masa sepanjang tahun lepas kerana sibuk bekerja.

Yang terus bertanya mengenai perkara ini adalah kenalan-kenalan saya yang tidak sabar-sabar untuk mendapatkan buku-buku yang bakal hangat dipasaran kelak.

Sebenarnya, buku tersebut perlu melalui pelbagai saringan sebelum sampai kepada penerbit dan sebagai penulis baru perhatian yang diberikan sudah tentu kurang. Hingga sekarang ini saya sudah hampir melengkapkan penulisan tajuk yang ketiga dan tajuk yang pertama masih belum diproses sepenuhnya.

Salah satu buku saya sudah pun dihantar kepada Ibupejabat Pengakap Malaysia untuk dinilai dan kemudian untuk dihantar kepada Dewan Bahasa dan Pustaka.

Tetapi dengan strategi baru, saya menjangkakan kemajuan dalam proses tersebut dan mungkin kita boleh lihat buku itu keluar dipasaran pada awal tahun 2010.

Strategi tetap strategi, mungkin tetap mungkin.

Kelas Dataran Merdeka Dibuka Semula

Telah menjadi kebiasaan sejak tahun 2006, kelas dataran akan mengumumkan kelas bercuti selama dua bulan berturut-turut untuk memberi laluan bulan Ramadhan dan Syawal. Walaupun begitu masih ramai pelajar-pelajar setia kelas yang banyak menghantar SMS kerana menahan sabar menunggu tarikh kelas dibuka semula.

Pada minggu yang sudah, beberapa ahli badan pengurusan kelas telah duduk bersidang secara tidak rasmi untuk membincangkan tarikh yang terbaik untuk tajuk kelas akan datang memandangkan tarikh peperiksaan juga bersimpang siuh.

Pada esok jumaat, Pengurus kelas akan hadir ke Kuala Lumpur untuk berbincang lebih lanjut mengenai takwim akhir tahun berkenaan jadual mingguan dan perkhemahan Kem Bintang 2009.

Pada dasarnya, saya menganggarkan kelas akan bermula pada ahad pertengahan bulan Oktober 2009 namun tertakluk kepada perbincangan saya dengan Pengurus dan Penyelia kelas esok hari.

Wednesday, February 25, 2009

Apa Itu Jawatan Pemimpin Pengakap?

Saya menerima pertanyaan yang sama setiap kali berjumpa dengan guru-guru di sekolah yang ditugaskan untuk menjaga Pengakap, dan dalam banyak-banyak soalan... ada beberapa penerangan yang saya lihat ramai masih merasa ragu-ragu. Mari kita huraikan secara ringkas dan mudah berkenaan jawatan tersebut.

Jawatan GURU PENASIHAT PENGAKAP

Jawatan ini diberikan oleh pengetua kepada guru yang ditugaskan untuk menjaga kumpulan Pengakap di dalam sekolah tersebut. Secara langsungnya, guru tersebut adalah seorang yang bergelar PEMIMPIN PENGAKAP. Baiklah, mari kita pergi kepada penerangan seterusnya.

Jawatan PEMIMPIN PENGAKAP

Adakah jawatan ini disandang oleh seorang sahaja...? jawapannya adalah tidak sama sekali. Rata-rata sekolah akan melantik beberapa orang guru untuk bertugas sebagai GURU PENASIHAT PENGAKAP bagi menampung dan membolehkan mereka menyelia bilangan ahli Pengakap yang ramai dan tugas itu harus dikongsi dengan rakan-rakan sepenjawat.

Sila maklumkan perkara ini kepada perhatian Pengetua anda.

Sesebuah kumpulan Pengakap yang berdaftar dalam sekolah tidak dipanggil sebagai PERSATUAN PENGAKAP SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN....

Ia sepatutnya disebut sebagai:

KUMPULAN PENGAKAP KE-28
DAERAH HULU LANGAT
SELANGOR DARUL EHSAN

SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN PERIMBUN

Dalam setiap kumpulan Pengakap mestilah dilantik seorang PEMIMPIN KUMPULAN (Lencana pangkatnya tertulis "Pemimpin Kumpulan" yang dipakai disebelah bahu kiri).

PEMIMPIN KUMPULAN ini mempunyai dua orang pembantu yang disebut sebagai:

  1. PEMIMPIN PENGAKAP MUDA
  2. PEMIMPIN PENGAKAP REMAJA
(Lencana pangkatnya tertulis "Pemimpin" sahaja yang dipakai disebelah bahu kiri).

PEMIMPIN PENGAKAP MUDA bertanggungjawab untuk menyelia semua kemajuan ahli-ahli dalam unit Pengakap Muda yang terdiri daripada pelajar tingkatan satu hingga tingkatan tiga (dalam buku undang-undang dan dasar pertubuhan ia disebut sebagai umur 13 tahun hingga 15 tahun setengah tetapi saya terangkan disini secara asas mengikut tingkatan dalam sekolah) manakala PEMIMPIN PENGAKAP REMAJA bertanggungjawab untuk menyelia semua kemajuan ahli-ahli dalam unit Pengakap Remaja yang terdiri daripada pelajar tingkatan empat hingga tingkatan lima.

Kedua-dua pemimpin ini akan melapor kepada PEMIMPIN KUMPULAN dan perlu ditekankan, ini tidak bermakna PEMIMPIN KUMPULAN tiada tugas berat.

Jawatan PENOLONG PEMIMPIN

Sekiranya masih terdapat banyak guru-guru yang ditugaskan untuk menjaga Pengakap atau ada guru-guru lain atau ibubapa yang berminat untuk membantu menjaga kumpulan Pengakap di satu-satu sekolah tersebut bolehlah didaftarkan sebagai PENOLONG PEMIMPIN (Lencana pangkatnya tertulis "Penolong Pemimpin" yang dipakai disebelah bahu kiri).

Friday, February 13, 2009

Leny

Pada hari ini saya telah mendapat comment dalam ... pengakap bahagian 1 dan 3 daripada salah seorang yang mengenali saya tapi dia tidak mengenalkan dirinya....

Bagus jugak kalau dapat bertemu semula dengan kenalan lama...

Tuesday, January 6, 2009

Program Muzikal Pengakap - B-Minor

Bangsar Minors (B-minor) sebuah kugiran Pengakap yang telah menempa sejarah
apabila dijemput untuk membuat persembahan di studio C Sri Pentas pada Disember 2006


Akhirnya selepas bermesyuarat dengan Badan Pengurusan B-Minor, Pengarah-Pengarah program telah bersetuju untuk menamatkan Program B-minor ini setelah 2 tahun menempa nama dalam dunia muzikal Pengakap Malaysia.

Program ini berbentuk ekperimental dan telah berjaya mencapai ke satu tahap klimaks pada tahun pertama penubuhannya.

Saya akan mengeluarkan sijil penghargaan kepada semua ibubapa yang terlibat memberi sokongan dan sijil penyertaan kepada ahli-ahli B-minor dalam masa bulan Januari 2009 ini.

FAMIE SHAFIE
Pengarah B-minor

Thursday, January 1, 2009

Kelas Dataran Merdeka - Kelas Renang

Peserta bergambar bersama tenaga pengajar di akhir kelas

Sebahagian daripada peserta sedang membuat aktiviti

Semenjak Kelas Dataran Merdeka (KDM) dibuka pada pertengahan tahun 2006 ini adalah kali pertama kami mengendalikan tajuk Kelas Renang yang telah dijalankan dengan jayanya pada 23hb November 2008 bertempat di Pusat Komuniti Lembah Pantai. Seperti tajuk-tajuk lain, kelas ini adalah percuma namun badan pengurusan tidak menyediakan pengangkutan dan tanggungan lain.

Semasa menerima permintaan untuk belajar berenang hanya 9 orang yang berdaftar dengan Penyelia Kelas tetapi semasa hari yang dinantikan... seramai 27 orang peserta yang hadir, 5 daripadanya adalah perempuan.

Kebanyakan peserta berkumpul di dataran dan bergerak menaiki bas di Perhentian Bas Klang hingga ke Bukit Pantai dimana mereka berjalan hingga ke Pusat Komuniti Lembah Pantai.

En. Imran sedang memberi tunjuk ajar kaedah berenang

Tidak seperti kelas renang yang lain, tenaga pengajar Pengakap tidak perlu masuk ke dalam air bersama peserta untuk memberi panduan kecuali berlaku kecemasan.


Dari kiri: Pn. Ruhil, En. Zainor, Saya, YM. Raja dan En. Alex

Peserta mendengar taklimat selepas kelas

Latihan Pengakap Kanak-Kanak Di KDM

Kelas Dataran Merdeka (KDM) tidak menyediakan latihan dan perjumpaan mingguan untuk Pengakap Kanak-Kanak kerana kelas ini memberi fokus kepada unit dibawah jagaan tanggungjawab saya iaitu Unit Pengakap Muda & Remaja. Secara tidak langsung saya juga bertanggungjawab untuk memberi latihan bagi calon-calon Pengakap Raja.

Unit Pengakap Muda = 13 tahun ~ 15 tahun
Unit Pengakap Remaja = 16 tahun ~ 17 tahun

Dalam bentuk perjumpaan di kelas, kedua-dua unit ini mempunyai sistem yang hampir serupa seperti istiadat bendera dan sistem berpatrol dan ini membolehkan saya mengendalikannya serentak dalam latihan.

Pengakap Kanak-Kanak pula mengamalkan istiadat Laung Agung dan menggunakan sistem sekawan dan skima latihannya juga jauh berbeza. Melainkan ada pemimpin yang sukarela dan berkemampuan dari segi masa untuk mengendalikan aktiviti tersebut di kelas saya.

Untuk tahun 2009, sudah ada ibubapa yang akan menghantar anak mereka seorang Pengakap Kanak-Kanak untuk belajar di KDM kerana dua anak perempuannya sudah pun menjadi peserta KDM sejak 2008.

Pemimpin Luar Mengajar Di Sekolah

Sebenarnya saya tidak pasti apakah tajuk yang lebih sesuai untuk diletakkan bagi menerangkan perihal isu tersebut. Namun pun begitu saya harap para pembaca dapat memahami apa yang dimaksudkan setelah membaca ulasan saya.

Dalam dua tahun kebelakangan ini saya kerap mendapat SMS dan panggilan telefon daripada para Pengakap dalam daerah yang meminta pihak daerah untuk menghantar tenaga pengajar ke sekolah bagi membantu mereka menjalankan aktiviti perjumpaan mingguan. Hingga kini pada tarikh-tarikh akhir tahun 2008 yang baru lepas juga saya menerima emel daripada seorang Pengakap mengenai permintaan yang sama.

Dalam emel tersebut lebih kurang begini bunyinya...

"Abg Famie datanglah mengajar di sekolah, saya kamcing dengan cikgu Pengakap sekolah... nanti saya akan cakap dekat dia..."

Bukannya barisan tenaga pengajar tidak masuk ke sekolah kerana tidak mendapat kerjasama dan kebenaran, malah pihak sekolah mengalu-alukan perkhidmatan kami namun penjelasan saya kepada pembaca adalah seperti berikut;

saya tamat persekolahan tingkatan 5 pada tahun 1997 dan telah kekal aktif mengajar sehingga sekarang sudah 12 tahun. dalam tempoh 12 tahun itu saya sudah mengajar banyak sekolah sehinggalah pada dua tiga tahun yang lepas Kementerian menguatkuasakan hari aktiviti ko-kurikulum di ubah pada hari persekolahan yakni pada hari selasa, rabu atau khamis dimana sebelum ini aktiviti ko-kurikulum adalah pada hari sabtu.

Semenjak keputusan itu dikuatkuasakan... mak ramailah barisan sukarelawan yang terdiri daripada kelana, pemimpin dan pesuruhjaya yang tidak dapat membantu pihak sekolah kerana kebanyakannya adalah dari golongan yang bekerja.

Namun setiap masalah mesti ada penyelesaian...

Setelah mendapat banyak permintaan untuk mengajar di sekolah akhirnya saya membuat keputusan setelah berbincang dengan rakan sepenjawatan untuk menyediakan latihan di tempat lain luar daripada kawasan sekolah.

"kalau kita tak dapat bantu mereka dengan pergi ke sekolah untuk mengajar... kita mengajarlah di luar dan biar mereka datang..."

Perbincangan dengan En. Zainor Sham Abdullah yang semasa itu memegang jawatan sebagai Pen. Pesuruhjaya Daerah Bahagian Program bertempat di Perpustakaan Kuala Lumpur, perbincangan yang berlarutan hingga seminggu akhirnya menghasilkan satu penyelesaian yang baik...

En. Zainor Sham Abdullah
Kini memegang jawatan sebagai
Pesuruhjaya Daerah Lembah Pantai


"Bayangkan satu hari nanti Pengakap buat perjumpaan dan aktiviti di sini dan orang awam yang mengunjungi perpustakaan ini dapat melihat dengan jelas dari tingkat atas tempat kita berdiri sekarang.. mesti nampak menarikkan...?"


Dengan titik permulaan itulah para Pengakap dari segenap pelusuk Lembah Pantai dan tidak terhad kepada daerah dan negeri lain mula hadir setiap hari ahad di...

"KELAS DATARAN MERDEKA"