Wednesday, October 26, 2022

Demi Content (di media sosial)

Ramai yang tidak menyedari, tetapi semua ini sudah menjadi gaya hidup yang tidak sihat. Semua perkara hendak dimuatnaik ke media sosial. Ini adalah petanda-petanda masyarakat sekarang ini ketagih perhatian kerana perasaan teruja mendapat like dan pageview yang banyak sungguh menyeronokkan.

'Orang-orang lama' merasai keseronokkan dengan membaca buku, meluangkan masa dengan famili dan seumpamanya. Tetapi kini masyarakat sekarang ini jika duduk di meja makan, tangan mereka tidak lekang dengan peranti dan tidak memperdulikan masa bersama famili mahupun bersama rakan taulan.

Kucing hilang, merayu dalam Facebook agar mendapat simpati orang. Anak badan melecur tersimbah air panas terus ambil telefon untuk snap gambar untuk dimuatnaik ke Facebook menagih perhatian daripada orang ramai agar menyelami perasaannya sebagai ibu kepada mangsa melecur. Air mata menitik menangis kerana putus cinta dengan pasangan terus capai telefon untuk rakam video sendiri tengah menangis dan muatnaik kepada Tiktok untuk menagih perhatian dan simpati orang ramai.

Baru-baru ini kemalangan dilebuhraya dirakam ketika api sedang marak kereta yang dilanggar lori terbakar yang mengorbankan seorang wanita. Rakaman video daripada orang awam menunjukkan suami mangsa maut itu sedang meraung separuh nyawa melihat api yang membakar isterinya dalam keadaan dia tidak mampu untuk menyelamatkan isterinya. MENGAPA video ini dimuatnaik ke media sosial?

Bukan semua video sesuai malah tidak sepatutnya dimuatnaik ke media sosial.

Wahai murid-muridku, hentikanlah gaya hidup bodoh ini dan jauhi mereka yang mengamalkannya.