Tuesday, January 6, 2009

Program Muzikal Pengakap - B-Minor

Bangsar Minors (B-minor) sebuah kugiran Pengakap yang telah menempa sejarah
apabila dijemput untuk membuat persembahan di studio C Sri Pentas pada Disember 2006


Akhirnya selepas bermesyuarat dengan Badan Pengurusan B-Minor, Pengarah-Pengarah program telah bersetuju untuk menamatkan Program B-minor ini setelah 2 tahun menempa nama dalam dunia muzikal Pengakap Malaysia.

Program ini berbentuk ekperimental dan telah berjaya mencapai ke satu tahap klimaks pada tahun pertama penubuhannya.

Saya akan mengeluarkan sijil penghargaan kepada semua ibubapa yang terlibat memberi sokongan dan sijil penyertaan kepada ahli-ahli B-minor dalam masa bulan Januari 2009 ini.

FAMIE SHAFIE
Pengarah B-minor

Thursday, January 1, 2009

Kelas Dataran Merdeka - Kelas Renang

Peserta bergambar bersama tenaga pengajar di akhir kelas

Sebahagian daripada peserta sedang membuat aktiviti

Semenjak Kelas Dataran Merdeka (KDM) dibuka pada pertengahan tahun 2006 ini adalah kali pertama kami mengendalikan tajuk Kelas Renang yang telah dijalankan dengan jayanya pada 23hb November 2008 bertempat di Pusat Komuniti Lembah Pantai. Seperti tajuk-tajuk lain, kelas ini adalah percuma namun badan pengurusan tidak menyediakan pengangkutan dan tanggungan lain.

Semasa menerima permintaan untuk belajar berenang hanya 9 orang yang berdaftar dengan Penyelia Kelas tetapi semasa hari yang dinantikan... seramai 27 orang peserta yang hadir, 5 daripadanya adalah perempuan.

Kebanyakan peserta berkumpul di dataran dan bergerak menaiki bas di Perhentian Bas Klang hingga ke Bukit Pantai dimana mereka berjalan hingga ke Pusat Komuniti Lembah Pantai.

En. Imran sedang memberi tunjuk ajar kaedah berenang

Tidak seperti kelas renang yang lain, tenaga pengajar Pengakap tidak perlu masuk ke dalam air bersama peserta untuk memberi panduan kecuali berlaku kecemasan.


Dari kiri: Pn. Ruhil, En. Zainor, Saya, YM. Raja dan En. Alex

Peserta mendengar taklimat selepas kelas

Latihan Pengakap Kanak-Kanak Di KDM

Kelas Dataran Merdeka (KDM) tidak menyediakan latihan dan perjumpaan mingguan untuk Pengakap Kanak-Kanak kerana kelas ini memberi fokus kepada unit dibawah jagaan tanggungjawab saya iaitu Unit Pengakap Muda & Remaja. Secara tidak langsung saya juga bertanggungjawab untuk memberi latihan bagi calon-calon Pengakap Raja.

Unit Pengakap Muda = 13 tahun ~ 15 tahun
Unit Pengakap Remaja = 16 tahun ~ 17 tahun

Dalam bentuk perjumpaan di kelas, kedua-dua unit ini mempunyai sistem yang hampir serupa seperti istiadat bendera dan sistem berpatrol dan ini membolehkan saya mengendalikannya serentak dalam latihan.

Pengakap Kanak-Kanak pula mengamalkan istiadat Laung Agung dan menggunakan sistem sekawan dan skima latihannya juga jauh berbeza. Melainkan ada pemimpin yang sukarela dan berkemampuan dari segi masa untuk mengendalikan aktiviti tersebut di kelas saya.

Untuk tahun 2009, sudah ada ibubapa yang akan menghantar anak mereka seorang Pengakap Kanak-Kanak untuk belajar di KDM kerana dua anak perempuannya sudah pun menjadi peserta KDM sejak 2008.

Pemimpin Luar Mengajar Di Sekolah

Sebenarnya saya tidak pasti apakah tajuk yang lebih sesuai untuk diletakkan bagi menerangkan perihal isu tersebut. Namun pun begitu saya harap para pembaca dapat memahami apa yang dimaksudkan setelah membaca ulasan saya.

Dalam dua tahun kebelakangan ini saya kerap mendapat SMS dan panggilan telefon daripada para Pengakap dalam daerah yang meminta pihak daerah untuk menghantar tenaga pengajar ke sekolah bagi membantu mereka menjalankan aktiviti perjumpaan mingguan. Hingga kini pada tarikh-tarikh akhir tahun 2008 yang baru lepas juga saya menerima emel daripada seorang Pengakap mengenai permintaan yang sama.

Dalam emel tersebut lebih kurang begini bunyinya...

"Abg Famie datanglah mengajar di sekolah, saya kamcing dengan cikgu Pengakap sekolah... nanti saya akan cakap dekat dia..."

Bukannya barisan tenaga pengajar tidak masuk ke sekolah kerana tidak mendapat kerjasama dan kebenaran, malah pihak sekolah mengalu-alukan perkhidmatan kami namun penjelasan saya kepada pembaca adalah seperti berikut;

saya tamat persekolahan tingkatan 5 pada tahun 1997 dan telah kekal aktif mengajar sehingga sekarang sudah 12 tahun. dalam tempoh 12 tahun itu saya sudah mengajar banyak sekolah sehinggalah pada dua tiga tahun yang lepas Kementerian menguatkuasakan hari aktiviti ko-kurikulum di ubah pada hari persekolahan yakni pada hari selasa, rabu atau khamis dimana sebelum ini aktiviti ko-kurikulum adalah pada hari sabtu.

Semenjak keputusan itu dikuatkuasakan... mak ramailah barisan sukarelawan yang terdiri daripada kelana, pemimpin dan pesuruhjaya yang tidak dapat membantu pihak sekolah kerana kebanyakannya adalah dari golongan yang bekerja.

Namun setiap masalah mesti ada penyelesaian...

Setelah mendapat banyak permintaan untuk mengajar di sekolah akhirnya saya membuat keputusan setelah berbincang dengan rakan sepenjawatan untuk menyediakan latihan di tempat lain luar daripada kawasan sekolah.

"kalau kita tak dapat bantu mereka dengan pergi ke sekolah untuk mengajar... kita mengajarlah di luar dan biar mereka datang..."

Perbincangan dengan En. Zainor Sham Abdullah yang semasa itu memegang jawatan sebagai Pen. Pesuruhjaya Daerah Bahagian Program bertempat di Perpustakaan Kuala Lumpur, perbincangan yang berlarutan hingga seminggu akhirnya menghasilkan satu penyelesaian yang baik...

En. Zainor Sham Abdullah
Kini memegang jawatan sebagai
Pesuruhjaya Daerah Lembah Pantai


"Bayangkan satu hari nanti Pengakap buat perjumpaan dan aktiviti di sini dan orang awam yang mengunjungi perpustakaan ini dapat melihat dengan jelas dari tingkat atas tempat kita berdiri sekarang.. mesti nampak menarikkan...?"


Dengan titik permulaan itulah para Pengakap dari segenap pelusuk Lembah Pantai dan tidak terhad kepada daerah dan negeri lain mula hadir setiap hari ahad di...

"KELAS DATARAN MERDEKA"