Tuesday, September 30, 2008

Identiti Seorang Pengakap (Bahagian: 3)

"Aku tak dapat pergilah... mak aku kata tak boleh pulak..." - rintih Fazrin
Semua ahli kumpulan kami termasuk Nurul Huda mempamerkan perasaan hampa kerana kekurangan ahli kumpulan (walaupun sebenarnya memang bilangan yang dibenarkan adalah enam orang sahaja). Nurul Huda sebagai ketua kumpulan berasa hampa, sedih tetapi lega kerana bilangan ahli kumpulan mencukupi syarat.

Kami berbual seketika di situ bersama Fazrin sambil berbincang mengenai senarai peralatan dan bahan mentah yang dibawa sepertimana yang sudah dirancang sebelum ini. Peralatan seperti kuali, periuk, dan alatan memasak yang lain nampaknya sudah lengkap. Bahan mentah seperti bawang, telor, roti, garam, gula dan lain-lain nampaknya lebih daripada yang diperuntukkan.

"Okey lah... aku kena pergi kedai beli barang mak aku ada pesan tadi."

Fazrin pun berjalan meninggalkan kami yang berdiri kaku dan tidak dapat berkata apa-apa selain daripada melihatkan dia pergi.

Ketibaan bas memeriahkan suasana, ramai budak-budak yang teruja dengan ketibaan bas tersebut kerana ini adalah detik yang dinanti-nantikan untuk pergi berkhemah. Kelihatan juga beberapa orang ibubapa yang sedang berbual dengan cikgu-cikgu yang menyertai perkhemahan ini berkemungkinan mereka sedang bertanyakan mengenai aktiviti yang akan dijalankan sepanjang perkhemahan tersebut.

Suasana didalam bas agak riuh umpama menyaksikan perlawanan bola sepak di dalam stadium, melihat riak muka pemandu bas tersebut kita dapat mengetahui tahap kesabaran yang ada pada dirinya setelah bertahun-tahun menimba pengalaman sebagai pemandu bas, atau berkemungkinan dia mempunyai masalah pendengaran yang kronik.

Cikgu yang turut serta dalam perkhemahan ini nampaknya telah berjaya melelapkan mata mungkin kerana terlalu penat membuat persediaan untuk perkhemahan ini, saya pula masih segar berjaga melihat kelakuan budak-budak lain sepanjang perjalanan yang kami rasakan amat jauh itu.

"jauhnya..." - keluh saya didalam hati.

Namun pun jauh dan perjalanannya yang memakan masa, pengalaman ini adalah yang pertama seumpamanya selain daripada rombongan ke muzium negara semasa berada di darjah empat.

Perjalanan kami sudah mula memasuki kawasan yang jalannya kecil dan keadaan sekeliling menunjukkan kawasan hutan yang tebal, bas yang tadi dipandu laju kini memperlahankan kenderaannya kerana jalan yang semakin sempit. Kelihatan penduduk-penduduk tempatan berniaga di luar rumah mereka sebagai sumber pendapatan dengan menjual petai, jering dan banyak lagi bahan mentah yang pelik bagi mata budak bandar, permandangan sebegini amat asing sekali bagi kami semua yang datang dari bandar Kuala Lumpur.

"eh... Isa, sungai lah... jernihnya air dia..."
Begitulah terujanya perasaan seorang pelajar yang pastinya pertama kali mendapat peluang melihat keindahan alam semulajadi sama juga seperti saya dan kebanyakan budak-budak yang berada didalam bas tersebut.

Isa hanya melihat keindahan sungai yang mengalir itu tanpa berkata apa-apa, dia beralih kesebelah kiri tempat duduk dalam bas untuk melihat dengan lebih jelas aliran sungai itu dan dia bagaikan terpukau dengan suasana yang baru baginya itu.


Melihatkan keadaan Isa, saya berkata dalam hati yang dia mungkin sedang terfikirkan perbezaan yang ketara antara sungai-sungai yang dilihatnya di bandar yang difikirkan selama ini adalah sifat sungai yang sememangnya begitu... keruh, berbau dan tercemar dengan sampah sarap.

Kerana jika tidak Isa seorang, saya juga terfikirkan perkara yang sama.

"tut... tut... tut... tut..." - alat amaran mengundur bas berbunyi.

Pemandu bas mengundurkan kenderaan untuk mencari tempat yang sesuai meletakkan kenderaannya yang panjang itu. Cikgu sudah pun turun untuk membantu bas tersebut mengundur, kelihatan cikgu berada di sebelah bas memberikan isyarat seperti polis trafik dan menahan kenderaan lain yang berada dibelakang bas yang kami naiki.

"beratur dihadapan saya dalam kumpulan masing-masing..." - arahan dikeluarkan oleh cikgu.

"cepat... cepat!!!" - teriak cikgu.

Semua budak-budak turun sarat dengan beg masing-masing dan berpusu-pusu untuk mencari rakan sekumpulan dan bergegas untuk masuk dalam barisan. Semasa berada didalam barisan, saya sempat memandang kawasan sekeliling untuk melihat keadaan yang asing itu dan saya melihat pintu masuk ke dalam hutan tersebut yang tertulis;

"HUTAN LIPUR SUNGAI CHONGKAK"


Kami berjalan diiringi oleh cikgu-cikgu menghala masuk dalam hutan tersebut, melintas satu jambatan kecil, kedengaran deruan air sungai yang deras, bunyi burung, udaranya yang begitu nyaman tidak pernah di alami sebelum ini. Perjalanan kami diteruskan dan jika tadi sungai yang kami lihat berada disebelah kiri, kini kami berjalan dengan sungai di sebelah kanan kami.

Tapak perkhemahan yang dipilih oleh cikgu berada di zon dua yang berada di seberang sungai, maka kami pun menyeberangi sungai tersebut dan berkumpul untuk mendengar taklimat daripada cikgu Majid. Cikgu majid ini orangnya pendek, badan penuh dan tegap seperti bull-dog, kulit gelap bersuara garau dan dikenali sebagai seorang cikgu yang garang disekolah.


kami meletakkan beg kebawah dan dalam keadaan berdiri, kami mendengar taklimat tersebut dengan teliti mengenai keselamatan yang ditekankan dan peraturan-peraturan yang harus kami patuhi sepanjang masa perkhemahan tersebut. Perkhemahan ini disertai oleh bilangan yang agak besar hampir 60 orang dimana peserta perempuan melebihi peserta lelaki.


"saya tak nak tengok ada lelaki yang pergi masuk
ke kawasan perkhemahan perempuan...!!!"
- tegas cikgu.

Kumpulan budak-budak perempuan membuat bunyi boo.... yang panjang ditujukan kepada budak-budak lelaki yang sedang mendengar pesanan tegas cikgu dengan penuh teliti.

"dan jangan ada pulak perempuan yang sibuk nak masuk
ke kawasan perkhemahan lelaki..!!!"
- kata cikgu pula.

Kini kumpulan budak-budak lelaki hanya tersenyum sinis.

Namun kata cikgu, peraturan kawasan ini hanya berkuatkuasa pada waktu malam sahaja. Kerana di siang harinya, kawasan kem lelaki digunakan sebagai tapak khemah kumpulan masing-masing untuk melakukan aktiviti memasak dan sebagainya.

Walaupun amat teruja dengan kejernihan sungai yang mengalir jernih, namun cuaca yang kini sudah gelap menjadi penghalang apabila cikgu-cikgu tidak membenarkan pelajar turun ke sungai melainkan mendapat arahan atau kebenaran sedemikian, ini adalah kerana langit yang gelap menunjukkan hujan berkemungkinan turun, sungai yang tadi jernih kini bertukar sedikit keruh menunjukkan di hulu sungai paras air sudah meningkat dan menjadi deras hasil daripada hujan di kawasan atas bukit dan langkah berjaga-jaga perlu diambil serta-merta.

Kerja-kerja menyiapkan tapak khemah diteruskan. Cikgu Sudirman kelihatan sedang berdiri di atas sebuah bongkah batu yang besar dan tinggi sambil memeluk tubuh, memerhati pergerakan kami di bawah ini.

Khemah dipasang dengan kemas, semua tali ditegangkan dengan baik. Tapak khemah disapu bersih daripada sampah dan daun-daun kering dengan menggunakan ranting-ranting kayu yang diikat seperti penyapu lidi. Ranting kayu yang besar dan kuat digunakan sebagai pancang khemah. Longkang kecil di korek menggunakan tangan disekeliling khemah untuk mengelakkan air mengalir masuk dibawah lantai. Gajet mudah seperti tempat menyidai baju basah, rak kasut, pagar tempat memasak adalah wajib untuk dilengkapkan.

Semua perkara ini dibimbing oleh cikgu-cikgu yang sentiasa bergerak memastikan semua ini berjalan dengan lancar.

Isa kembali dari sungai dengan membawa air untuk dimasak, cerek air ditenggek diatas tungku batu yang diambil daripada sungai, Nurul Huda menugaskan ahli kumpulan yang lain untuk mencari kayu dan ranting kering sebagai bahan api. Hujan tidak turun dikawasan perkhemahan kami, namun hari sudah gelap, jam menunjukkan pukul enam petang dan semua kerja dipercepatkan dan perlu berhenti rehat sebelum jam tujuh malam.

Pelita yang disediakan oleh cikgu, kami isi dengan minyak gas, menyalakan sumbunya dan digantung dihujung pagar kawasan khemah kami. Cahaya pelita tersebut cukup sekadar menerangi kawasan memasak sahaja namun ini sudah memadai.

Pada malam itu kami tidur pada jam sebelas malam selepas mendengar taklimat yang panjang daripada cikgu sudirman mengenai faktor-faktor keselamatan, disiplin dan peraturan perkhemahan, aktiviti yang akan dijalankan pada keesokan harinya dan pelbagai lagi perkara yang membuatkan ramai rasa letih kerana terpaksa duduk di atas tanah terlalu lama. Daripada penerangan cikgu Sudirman, jelas menunjukkan bahawa walaupun perkhemahan ini diuruskan oleh akela-akela Pengakap namun penyertaan dibuat terbuka kepada semua pelajar sekolah untuk memberi peluang kepada mereka yang ingin merasakan pengalaman berkhemah.

Setelah selesai taklimat. saya kembali ke khemah bersama isa, fadzil dan hafis dan membersihkan pasir dalam khemah dan bersedia untuk tidur. Dengan berbantalkan beg yang penuh dengan kain baju, tidak lama masa yang diambil untuk saya melelapkan mata dibuai mimpi.

Malam pun berlalu pagi pula menjelma, sinar mentari segar memancar dicelah-celah daun pokok-pokok yang tebal. Saya bangun dan duduk termenung di pintu khemah seperti orang yang tidak pasti dia berada dimana.

Tiba-tiba;

"teetttttttttttttt..............." - tiupan wisel nada panjang.

semua orang kaku berhenti segala pergerakan dan senyap segala perbualan sambil mengimbas kembali talimat malam tadi yang mengenai isyarat panggilan wisel, setelah seketika...

"teetttttttttttttt..............."

Satu lagi tiupan wisel nada panjang, di ikuti oleh enam nada pendek yang tajam.

"teettt... teettt... teettt... teettt... teettt... teettt..."

Semua orang bergegas berlari meninggalkan kerja masing-masing dan dengan pantas beratur dihadapan cikgu-cikgu yang sedang menunggu di ruang untuk berkumpul.

Taklimat kali ini diberikan oleh Cikgu Sukardi untuk aktiviti Jungle Tracking tetapi bukan semua peserta dapat menyertainya, tugas perlu dibahagikan untuk menjalankan aktiviti dan memasak. Cikgu Sukardi ini seorang yang tinggi lampai, muda dan kacak, muka seiras penyanyi indonesia yang saya tak ingat namanya, garang dan sentiasa pegang rotan di tangannya.

"okey, jadi yang pergi jungle tracking... Isa, Hafis, Shuhada" - jelas Nurul Huda.

Manakala Nurul Huda, Fadzil dan saya akan berada di tapak perkhemahan untuk meneruskan aktiviti memasak untuk pertandingan hidangan makanan tengahari nanti. Masa mula memasak serentak dengan pelepasan peserta jungle tracking iaitu pada jam sembilan pagi dan mereka akan kembali ke tapak kem untuk membantu kami memasak dalam jam sebelas pagi kerana hidangan masakan perlu dipersembahkan kepada cikgu tepat pada jam dua belas tengahari.

Sebagai Penolong Kuartermaster saya menjalankan tugas dengan menyediakan kelengkapan peralatan untuk memasak termasuk menyediakan dapur untuk aktiviti tersebut.

Sedang saya sibuk menyusun kayu api untuk menyalakan dapur, saya melihat fadzil menukar pakaian untuk pergi mandi di sungai tanpa memperdulikan kami yang sedang bersedia untuk memasak ini. Fadzil adalah seorang budak sebaya umur yang badannya agak gempal, pendek dan walaupun mukanya manis dipandang namun sikap pemalas dan tidak mahu bekerjasamanya jelas terpancar.

"masukkan bawang..." - kata Nurul Huda

Satu persatu bahan mentah kami masukkan untuk melengkapkan lauk sayur masak kicap resipi yang kami rasakan sudah memadai untuk memenangi hati cikgu yang akan memberi markah.

"eh... kau orang dah siap masak dah...?" - Fadzil pura-pura bertanya sekembali dari sungai.

"okey, sebab kau tak tolong masak,"

"kau bersihkan sisa-sisa makanan ini dan isi semula minyak pelita" - kata Nurul Huda kepadanya

Nurul Huda terus mengacau lauk yang sedang mendidih itu sambil saya melihat dari tepi. Nampak gayanya agak bagus kemajuan setakat ini, khemah sudah dibersihkan, masakan hampir selesai dan semuanya berjalan lancar sehingga;

"alamak..." - Fadzil dengan nada tak sengaja.

"kau gila ke apa!!!"
"dah lah malas nak buat kerja, suruh buat kerja senang pun tak boleh" - teriak Nuruk Huda


"kenapa Huda...?" - saya bertanya dengan nada tenang cuba untuk menenangkan dia.

"si pemalas ni ha... dia tuang minyak gas dalam sayur ni...!!!" - jelas Nurul Huda.

Saya pula naik berang dan Nurul Huda menenangkan saya. Datang pula Isa dan yang lain baru kembali dari aktiviti jungle tracking dan bertanya apa yang sedang berlaku.

Sepanjang sepuluh minit itu adalah tempoh yang begitu lama bagi Fadzil terpaksa berhadapan dengan cemuhan rakan-rakan yang kesal dengan sikap cuainya. Saya duduk di suatu sudut di tepi pokok yang besar untuk menenangkan diri dari perasaan marah dan sedih kerana kejadian sebentar tadi sementara yang lain masih lagi menghukum Fadzil secara deraan mental.

Semasa sedang duduk di pokok itu, saya memerhatikan seorang budak yang sedang disoal oleh cikgu Sukardi sambil diperhatikan oleh cikgu Majid kerana membawa senjata tajam yang besar dan merbahaya, pisau yang dibawanya lebih besar dari lengannya sendiri dan fungsi pisau tersebut adalah sebagai senjata pertempuran jarak dekat yang di pasangkan di hujung senapang atau rifel. Pisau sebegini dinamakan sebagai Bayonet.

Dari jarak jauh saya memerhatikan pergerakan bibir cikgu-cikgu yang menyoalnya dan dari jawapannya yang saya dapat agak ialah pisau tersebut kepunyaan abangnya yang bekerja sebagai tentera dan diberi pinjam kepadanya untuk perkhemahan ini. Walaupun kuathir dengan keselamatan penggunaannya, cikgu telah memberi peluang kepadanya untuk menggunakannya dengan selamat.

Saya hanya mengenali budak itu disekolah kerana dia seorang pelajar yang mempunyai masalah disiplin kerana hidupnya miskin. Dia hadir ke sekolah setiap hari dengan baju yang kotor dan dalam keadaan yang tidak terurus, ramai cikgu yang kerap memarahinya kerana penampilannya yang sebegitu rupa.

"kelawar...!!!"
- budak miskin itu teriak.

Dipercayai kelawar itu mungkin diserang burung dan jatuh ke tanah berdekatan dengan khemah lelaki. Walaupun sebenarnya pada masa itu kami merumuskan bahawa kelawar ini mungkin jatuh kerana terlanggar pokok, tapi kelawar terbang menggunakan imbasan sonar untuk mengelak halangan didepannya dan ia terbang lazimnya pada waktu malam, bagaimana pula kelawar ini boleh cuai dan jatuh?.

Menggunakan bayonet tersebut, dia mengangkat kelawar itu dan tunjukkan pada cikgu Sukardi. Cikgu menerangkan bahawa kelawar ini adalah kelawar dewasa tetapi dari spesis bersaiz kecil dan jarang ditemui di kawasan seperti di Sungai Chongkak.

Kesempatan ini saya ambil untuk melihat kelawar itu dengan mata sendiri. Rupa fizikalnya yang lebih kecil daripada telapak tangan, berperut buncit dan mata yang berwarna merah amat menakjubkan, ia mengeluarkan bunyi yang halus dan menyeramkan. Cikgu Sukardi mengambil kelawar itu dan meletakkannya jauh didalam semak supaya ia tidak diganggu sehingga ia pulih dari kecederaannya.

Dalam saya masih lagi terbayang-bayang mengenai nasib kelawar itu, tiba-tiba;

"teetttttttttttttt..............." - tiupan wisel nada panjang, setelah seketika...

"teetttttttttttttt..............."

Satu lagi tiupan wisel nada panjang, di ikuti oleh enam nada pendek yang tajam.

"teettt... teettt... teettt...
teettt... teettt... teettt..." - wisel ditiup oleh cikgu Sudirman isyarat berkumpul.

Semua peserta berkumpul dan bersedia untuk mendengar apa yang akan disampaikan oleh cikgu Sudirman. Cikgu Sudirman adalah cikgu yang terkacak di dalam sekolah mengalahkan barisan cikgu lelaki yang lain. Berbadan tinggi dan tegap, berkulit hitam manis, senyuman yang penuh keyakinan, seorang yang kreatif dan dihormati oleh murid-murid dan rakan setugas.

"senyap! dan dengar sini betul-betul apa saya nak cakap." - tegas cikgu Sudirman.

Dia pun meneruskan taklimatnya mengenai pertandingan memasak untuk hari tersebut dan berharap semua peserta telah bersedia untuk menghidangkan masakan masing-masing di hadapan barisan juri-juri yang terdiri daripada cikgu-cikgu yang menyertai perkhemahan tersebut termasuk dirinya sendiri.

Semua hidangan telah dituliskan dengan nama kumpulan masing-masing dan dihidangkan sepertimana dikehendaki oleh cikgu Sudirman dan semua peserta berdiri mengelilingi tempat hidangan dan menunggu dengan penuh teruja sambil para juri menguji rasa masakan tersebut satu-persatu.

Giliran mengikut kumpulan dan akhirnya sampai ke giliran kumpulan kami;

"baiklah, kini kita uji pula resipi masakan kumpulan nombor....... enam" - kata cikgu Majid.

Fadzil pada masa ini hanya mampu menundukkan kepalanya...
Isa dan yang lain cuba menyembunyikan perasaan ingin ketawa...
Nurul Huda menumpukan perhatiannya pada riak muka cikgu Majid yang sedang menguji dengan sudu...
Saya mengalami masalah penafasan mungkin kerana panik..

Cikgu Majid pula;

"sedap! boleh tahan... " - katanya.

Di akhirnya, walaupun kumpulan kami tidak memenangi pertandingan tersebut, namun kecuaian Fadzil tidak menjadi masalah besar kepada kumpulan kami kerana tidak dapat dikesan secara fizikal. Kami meneruskan tugas masing-masing selepas makan tengahari dan bersedia untuk aktiviti pada waktu petangnya.

Pada waktu malamnya kami menghabiskan masa bercerita sesama sendiri mengenai apa yang telah dilalui pada siangnya, bertukar-tukar cerita berkenaan dengan aktiviti jungle tracking dan memasak dan ketawa, bergurau senda dan jelasnya mempamerkan rasa gembira dapat menimba pengalaman dalam masa yang singkat. Yang penting kami berasa gembira.

Tiba-tiba hujan pun turun dengan lebat ;p

Artikel ini bersambung di "Identiti Seorang Pengakap (Bahagian:4)" dan baca seterusnya tentang pengalaman hidup penulis semasa mengikuti perkhemahan Pengakap yang pertama pada awal tahun 1993 semasa bersekolah di Sekolah Menengah Tengku Kudin, Raub. Pahang.

7 comments:

  1. Teringat pertandingan memasak tahun 1995 Aku buat air teh terletak garam, bayangkan mana ada orang bawa garam sekilo aku ingat gula, dan kena lah oter tambah gula n jadi air asam boy hahaha

    ReplyDelete
  2. Semasa Perkhemahan Kemahiran Pengakap yang saya anjurkan selama 6 hari di bukit lagong pada 2006, salah seorang peserta nak buat cekodok... tapi yang dia tak sedarnya ialah, yang dia bancuh tu Plaster of Paris (simen putih). Nasib baik saya tegur awal, sebab saya nampak dia punya putih tu lain macam jer... kalau tidak jadilah cekodok batu.

    ReplyDelete
  3. saya pun pernah kena macam saudara ibnu cuma ianya bukan teh tapi kopi.....




    syok juga tengok rakan rakan dah ada blog sendiri....

    A.D.

    ReplyDelete
  4. Dulu kerap masa semasa saya pergi berkhemah, stokin stokin kerap hilang sebelah..

    entahlah mungkin ada kucing yang minat dengan baunya yang harum....

    tapi kopi yang member-member ako bancuh memang sedap tapi yang tak besh dorang pakai stokin tuk jadi tapis...ilang selera ako bila mengenangkan stokin ako yang dah ilang itu.

    ReplyDelete
  5. Bila teringat perkhemahan masa muda-muda dulu.... kadang-kala senyum sorang-sorang. Itu OK lagi, kadang-kadang tetiba gelak sorang-sorang.

    ReplyDelete
  6. Tuan Famie , tanya skit ada kolek si permainan dinamik tak ?

    Saya guru baru kena handle bahagian tu plak 20-23/10 ni . erkhemahan untk daerah ..

    kalau ada please kongsi skit..

    terima kasih .

    email saya : azmanhus[@]gmail.com

    ReplyDelete
  7. hmm.. teringat waktu rombongan ni..
    tapi jgn buat tak tau, yang menang pertandingan masak ni was my team :))

    ReplyDelete

Do leave a comment. If you hate me... leave two.